Assalamualaikum ibu ayah istimewa yang menjadi pilihan Allah. Hari ini saya kongsikan karya yang saya baca. Mungkin ada dikalangan guru-guru yang boleh mendapat sedikit panduan melalui penulisan ini....
Suzi bingung dengan sikap anak
keduanya, Ismail yang menunjukkan tingkah laku yang aneh. Dia kerap kali
marah-marah dan suka menjerit dengan suara yang kuat. Malah pada usia tiga
tahun setengah dia masih tidak memahami apa yang dikatakan dan tidak
mengendahkan apabila dipanggil. Padahal dia dilahirkan normal cuma apabila dia
mula membesar, dia tidak suka dibelai dan dimanjakan. Apa masalah sebenar si
kecil ini? Ikuti pandangan Dr.Mastura Badzis, Pensyarah di Institut
Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa.
Apakah Autisme?
Adakah anak anda mempunyai simptom yang sama dengan
anak Suzi? Jika ya, anak anda mungkin berisiko menghadapi masalah autisme.
Mungkin ramai ibu bapa yang kurang arif tentang masalah ini.
“Autisme ialah gangguan psikitrik atau gangguan
perkembangan yang mengakibatkan masalah dalam komunikasi sama ada perkembangan
bahasa yang lambat atau tidak berkembang. Keadaan ini berkisar mengenai masalah
mengaitkan perkataan dengan penuh makna, interaksi sosial dan kesukaran untuk
memahami persekitaran. Pengesanan awal mampu menyelamatkan keadaan dan
kanak-kanak ini boleh dilatih sekurang-kurangnya untuk menguruskan diri
sendiri,” kata Dr Mastura Badzis.
Biasanya, petanda kesihatan anak yang menunjukkan
simptom gangguan sama ada secara mental dan fizikal tidak disedari. Misalnya
masalah autisme yang boleh dikesan pada peringkat umur 12 bulan hingga tiga
tahun namun disebabkan kurang peka, masalah ini gagal dikesan pada peringkat
awal dan menyebabkan anak terus terperangkap dengan dunianya dan sukar untuk
menjalani kehidupan apabila membesar kelak.
Menurut Dr Mastura, terdapat beberapa kategori
autisme iaitu autisme Autistic disorder atau “Klasik” Autisme”, “Sindrom
Asperger” atau turut dikenali sebagai “Atypical Autisme” dan Pervasive
Developmental Disorder.
Peka Akan Simptomnya
Kanak-kanak yang mengalami autisme mempunyai rupa
bentuk fizikal yang sama seperti kanak-kanak normal lain. Hal ini menyukarkan
masalah ini sukar dikenal pasti kecuali ibu bapa peka akannya simptom-simptom
yang ditunjukkan secara konsisten oleh mereka.
Antara simptom-simptom autisme ialah:
- Tidak
menunjukkan eye contact
- Tidak
bertindak balas terhadap senyuman
- Tantrum
yang keterlaluan tanpa sebab sehingga mencederakan diri seperti
menghantukkan kepada ke dinding.
- Tidak
menunjukkan minat untuk berkawan dan bermain dengan kanak-kanak lain,
malah selesa bermain sendirian.
- Sering
menyebut sesuatu perkataan secara berulang-ulang atau mengeluarkan suara
‘robotik’ atau disebut sebagai echolalia. Mereka juga sering
mengulang-ulang apa yang diperkatakan dan kerap melentikkan badan apabila
dipeluk.
- Terlalu
sensitif, mempunyai minat yang pelik kepada sesuatu seperti cahaya, bunyi
atau pergerakan.
- Gemar
mengibarkan tangan dan memusing-musingkan badan setempat. Malah pada
kanak-kanak 18 bulan ke atas, mereka cenderung untuk menggunakan isyarat
berbanding perkataan.
- Sukar
untuk mengubah rutin yang mana jika diubah akan mengakibatkan tantrum.
- Mereka
juga sering kali menunjukkan obsesi kepada sesuatu perkara seperti
permainan tertentu sahaja.
Apabila ditanya apakah penyakit ini boleh diwarisi
secara genetik atau keturunan, Dr Mastura berkata “Penyakit ini diwarisi secara
keturunan atau genetik tanpa sebab yang diketahui. Hal ini kerana autisme
disebabkan oleh keganjilan pada faktor biologi dan neurologi pada otak mereka.
Keadaan tidak normal ini juga boleh disebabkan olah pendedahan kepada
persekitaran yang tercemar atau berat semasa lahir yang rendah atau kelahiran
pramatang”.
Anakku autisme, apa perlu dilakukan?
“Ibu bapa hanya boleh mengesan tanda-tanda awal
melalui senarai semak perkembangan normal kanak-kanak tetapi tidak boleh
sewenang-wenangnya mengatakan si manja autistik. Jangan lekas melabelkan si
manja mengalami autisme dengan hanya kerana dia menunjukkan beberapa signal
autistik. Bawalah si manja mendapatkan pemeriksaan dengan pakar pendengaran
untuk memeriksa pendengarannya kerana khuatir mereka pekak. Setelah dikenal
pasti tidak pekak, maka bawalah pula berjumpa pakar psikologi klinikal atau pakar
psikiatri untuk membuat ujian dan pemantauan sama ada si manja benar-benar
menghidap autisme sebelum diberikan rawatan sewajarnya,” ujar Dr Mastura.
Rawatan terapi untuk kanak-kanak autisme hanya
boleh dijalankan oleh pakar sahaja. Antara rawatan tersebut ialah Applied
Behaviour Analysis yang dilakukan secara bermain atau play
theraphy.
Mendekati kanak-kanak Autistik
Kanak-kanak autistik memerlukan penjagaan secara
perseorangan atau one-to-one care. Hal ini perlu dilakukan dengan
berterusan dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi kerana mereka tidak
menghiraukan kewujudan orang lain. Elakkan merenung atau menyentuh si kecil
autistik kerana kelakuan ini akan menyebabkan mereka stres. bagi mengasuh dan
membimbing, banyakkan menggunakan alat bantuan seperti gambar supaya mereka
mudah menterjemahkan. Anda juga boleh memberikan kemahiran sosial melalui
teknik berkumpulan, bercerita dan sebagainya.
Gejala autisme boleh diredakan dengan menyediakan
persekitaran yang selamat, struktur jadual rutin yang tetap dan suasana yang
tenang. Mereka juga perlu diberi peluang untuk merasa apa juga yang ada di
persekitaran mereka bertujuan untuk merangsang. Penyakit yang dikenal pasti
tidak mempunyai penawar ini akan berkekalan sehingga dewasa. Oleh sebab itu,
kepekaan ibu bapa dan pengesanan awal amat diperlukan. Anak-anak autisme boleh
diberikan latihan menguruskan diri sendiri adalah langkah yang boleh diambil
sebagai persediaan menempuh kedewasaan.
Ibu bapa yang memiliki anak autisme bolehlah
mendaftarkan anak ke persatuan atau group support untuk
mendapatkan sokongan, bertukar pendapat dan mengatasi ketegangan yang dialami.
Menghantar anak ke kelas yang menawarkan pendidikan khas untuk pesakit autisme
boleh membantu mereka mengatasi masalah komunikasi dan sosial serta mengurangkan
tingkah laku yang tidak sesuai agar mereka mampu menguasai kemahiran untuk
hidup apabila dewasa kelak.
INFO:
Seramai 10 peratus penghidap autisme dikenal pasti
memiliki idiot savant di mana mereka mempunyai kemahiran
istimewa di dalam bidang matematik atau komputer, berupaya mengingati fakta,
kebolehan dalam bidang muzik dan kesenian.
(Sumber: Majalah Pa&Ma Januari 2013)
Segala yang baik adalah pemberian Allah, segala yang buruk saya mohon ampun
Tiada ulasan:
Catat Ulasan