Blogger Widgets

10 Oktober 2013

PENGAWAS SMK TUNKU ISMAIL KE TASIK BERIS


Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Pada awal tahun 2013 pengawas-pengawas SMK Tunku Ismail, Sungai Petani telah mengadakan Kem Motivasi Pengawas di Kem Seri Ternas ,Tasik Beris , Sik, Kedah. Kami sebut nama glamournya Sikney...emmmm orang Sik jangan marah ya....
Maka majoriti cikgu-cikgu pengawas dan cikgu-cikgu disiplin berasa teruja kerana sudah sekian lama tidak terlibat dengan aktiviti luar sebegini. Memang terus terang tergambar keseronokan cikgu-cikgu berbanding pelajar...
Masa nak berangkat dari sekolah telah tercuri, kerana setiap orang yang mengira bilangan pelajar akan memberikan jumlah yang berbeza. Pening juga kepala termasuk pemandu bas. Akhirnya pelajar yang tak ada tempat duduk menumpang kereta guru.
Sebenarnya bukan lah nak cerita tentang aktiviti tetapi lebih kepada keindahan tempat ini. Ini merupakan kali kedua kedatangan saya ke sini dan memang saya jatuh cinta dengan keindahan alam semula jadinya. Pada awalnya saya asyik dengar cerita penduduk asal yang tinggal di Sungai Petani tentang perpindahan keluarga mereka kerana kampung mereka tenggelam..Ha tenggelam??? tergambar di fikiran saya tenggelam itu dek kerana banjir...tapi kenapa mesti pindah..
Gini ceritanya:
Tasik Beris merupakan sebuah tasik buatan manusia di Malaysia yang terbentuk hasil dari pembinaan empangan Beris iaitu pada 10 Ogos 2000
Terletak di daerah Sik, Kedah ia asalnya adalah terdiri daripada beberapa buah kampung yang bernama Kampung Sungai Batang yang terdapat didalam kampung ini ialah Kampung Kuala, Kampung Baru, Kampung Tengah, Kampung Paya dan Kampung Besar dan kampung batu seketul terletak di Mukim Sok , Jauhnya tasik ini dari Pekan Sik adalah lebih kurang 17 km melalui jalan Sik Gulau atau dari Alor Setar iaitu 90 km dan kira-kira 1.6 km dari pertemuan antara Sungai Beris dan Sungai Muda.Tasik Beris mempunyai keistimewaan dan terikan tersendiri iaitu pemandangan panorama yang indah dikelilingi oleh rangkaian bukit bukau dan kawasan hutan simpan semulajadi.
Sebaik sahaja kami sampai ke Chalet ini yang kami nampak...sekeliling chalet ada pokok buah dan kami boleh makan sampai pengsan...alhamdulilah tak ada yang pengsan ,siap bawa balik buah rambutan seorang seikat lagi....




 SEJARAH

Sewaktu Kampung Sungai Batang dan Kampung Batu Seketol masih wujud, kegiatan harian penduduknya ialah sebagai petani seperti menjadi pesawah, penoreh getah juga dusun buah buahan serta mencari hasil hutan .


Semasa melilau disekeliling chalet kami jumpa pokok buah ni namanya buah mencupu ada yang panggil cerapu macam-macam lah namanya..itupun hasil rujukan di web site.. Buahnya manis dan bergetah. Bijinya saya dah semai di belakang rumah, alhamdulillah setakat ni dalam proses tumbesaran...


Kami berpeluang menaiki bot panjang yang diubahsuai...dengan bayaran RM10.00 seorang kalau tak silap ada 20 seat. Paling best boleh buat meeting sebab dalam bot ni ada Pengetua, Guru-guru pengawas dan Guru-guru disiplin, cukup korum.
Pakcik pemandu bot yang ramah umpama pemandu pelancong yang menceritakan tentang segenap tasik. Setiap kali bot melalui kawasan yang di bawahnya ada perkampungan, sekolah, padang bola, perkuburan dan masjid pasti dia akan menunjukkan kepada kami...memanglah tak nampak sebab dah tenggelam, nak tengok kena selam tapi sekurang-kurangnya kita tahu bahawa ada sesuatu di dalam tasik.
Terdapat dua batang sungai yang bersambung di Kampung Kuala dan sungai ini akan bersambung ke Sungai Muda. Sungai yang dimaksudkan ialah Sungai Kuala dan Sungai Batang. Air yang datang dari hulu Sungai Batang begitu banyak yang memberikan potensi untuk diwujudkan Tasik Beris.

Ketika Tasik Beris dalam proses pembinaan lebih seribu kubur telah dipindahkan pada tahun 2002. Kampung yang telibat ialah Kampung Batu Seketol, Kampung Sungai Batang (Kampung Kuala, Kampung Baru, Kampung Tengah, Kampung Paya dan Kampung Besar), Kampung Ternas dan Kampung Telaga Batu. Penduduk-penduduk kampung tersebut sekarang ditempatkan di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) kira-kira 10 kilometer dari Pekan Sik dan 5 kilometer dari Pekan Jeniang.


Penduduk-penduduk kampung menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Sungai Batang untuk mendapatkan pendidikan awal. Tapak sekolah asal telah ditenggelami air empangan Beris. Sekolah tersebut telah ditukarkan nama kepada Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya terletak berhampiran dengan penempatan penduduk-penduduk kampung di Bandar Baru Beris Jaya.



Gambar menunjukkan jalanraya yang hanya tinggal separuh...yang seterusnya berada di dalam tasik.
Tasik tersebut berpotensi dibangunkan sebagai pusat pelancongan air.Terdapat beberapa chalet yang boleh disewa dengan kadar yang berpatutan. Pengusaha chalet menyediakan beberapa kemudahan aktiviti untuk penyewa disamping dapat menikmati suasana sunyi di sekitar tasik ini.




Chalet-chalet ni adalah antara chalet yang terdapat di "D Puncak Beris" . Jika membawa pelajar sekolah meungkin agak suka untuk mengawal mereka kerana kawasan yang agak luas. Berbanding dengan Chalet di Seri Ternas yang mempunyai 2 dorm yang lengkap dengan bilik air. Boleh la saya beri taraf  dorm 2 bintang berpatutan lah juga dengan kadar sewa yang murah...

Malam terakhir biasalah...mesti ada BBQ









Paling menarik terdapat ladang anggur seluas 34 ekar, yang boleh dilawati dengan bayaran masuk yang berpatutan. Di ladang Anggur Tasik Beris ini pengunjung boleh melihat bagaimana bentuk pokok dan buah anggurnya.






Hmmmm cantik tak pemandangan di sini...kepada sesiapa yang belum pernah ke Beris ni, jemputlah datang. Inilah antara tempat pelancongan yang menarik untuk membawa anak-anak dan pelajar sekolah melawat pada musim cuti sekolah. kalau nak cerita aktiviti yang boleh dilakukan disini satu minggu tak habis.....

ADIOS




8 Oktober 2013

MENANAM UBI KEMILI

Assalamualaikum.....


Mentari dan bulan terbit silih berganti, begitu juga musim datang dan pergi menambahkan usia kita hari kehari....tahun 2013 Cikgu Maimunah Bahron mencadangkan persatuan kami menanam ubi tahun, ubi apa tu???  Pelajar-pelajar bertanya, jawab saya "entah cikgu pun tak tahu" rupa-rupanya ubi kemili atau ubi keling...tak tahu juga?
Ubi Kemili (Coleus Tuberosus) merupakan jenis tanaman berubi dari family Roxburghiaceae juga dikenali sebagai Ubi Keling (mungkin kerana warna kulitnya yang kehitaman ) tetapi dikalangan masyarakat Jawa di Muar Johor  memanggilnya dengan nama Kentang Jembut. Tanaman ini merupakan famili  dengan pokok Ati-ati (Coleus) yang dijadikan tanaman hiasan.
Semakin banyak diteroka semakin banyak nama...bawah ni jumpa pula maklumat tentang ubi kemili tapi keluarga lain pula...banyak suku kaum juga ya ubi ni...apa-apa pun ini sekadar rujukan saya kalau nak pasti kenalah rujuk jabatan Pertanian.



Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Ubi Keling
Ubi Keling.jpg
Pengelasan saintifik
Alam:Hidupan
Divisi:Magnoliophyta
Kelas:Magnoliopsida
Order:Lamiales
Keluarga:Lamiaceae
Genus:Plectranthus
Spesies:P. rotundifolius
Nama binomial
Plectranthus rotundifolius

Ubi keling/ubi kemili merujuk kepada sejenis ubi yang kecil dan berkulit hitam. Nama saintifiknya adalah Plectranthus rotundifolius (Poiret) Sprengel. Di Indonesia, ia juga dikenali sebagai kentang Jawa atau kentang Ireng. Ubi ini boleh dimakan selepas direbus.


Kaedah Penanaman
Kaedah penanaman mudah sahaja ,jika sudah ada pokok induk kerat sahaja bahagian pucuknya lebih kurang 5-7 cm panjang dan cucuk dalam poli beg..kami guna tray oleh tengok gambar.





Bila dah berakar barulah dipindakan ke batas.kami tanam jaraknya lebih kurang 1 kaki atau 30cm untuk tumbesaran pokok dan berselang seli...alaaa tengoklah gambar.


Sementara benih nak berakar kenalah buat campuran medium penanam dahulu...

Pelapistani SMK Tunku Ismail masih bergaya walau penat menggembur tanah...semangat bakal petani moden.

Baja lebih kurang banyak ni saja, buat lubang dekat perdu tanaman
dan kambus baja. Lepas tu siram


Bila pokok dah membesar kenalah baja menggunakan baja NPK 15:15:15 saya tak pandai sangat bab ni...yang pakar ialah Cikgu Maimunah Bahron, tahun hadapan beliau bersara, alahai kalau tinggal kebun ni kat saya tak tahulah apa jadi...tunggu dan lihat je la...




Masa pokoknya baru naik, tambahan pula musim hujan memang seronok mata memandang, nampak cantik je pokoknya tumbuh bentuk bulat sekelompok.




Aktiviti merumput perlu kerap dilakukan jika tidak rumput akan tumbuh dicelah-celah pokok. dalam gambar ni kat celah pokok ubi kemili tu kami tanam kangkung untuk memanfaatkan ruang yang ada, kerana tanaman ni mengambil masa sehingga 12 bulan untuk mendapatkan hasil.




Bila rumpun pokok dah tumbuh panjang berjurai-jurai, perlunya perlu ditimbus lagi dengan medium untuk pertumbuhan ubi...Cikgu Maimunah kata..., saya dan budak-budak ikut je.
Rumpun yang berjurai-jurai di tarik me atas batas untuk kambus medium campuran supaya perdunya mengeluarkan  ubi yang lebih beisi.2 minggu sekali kena baja tetapi bukan lagi NPK 15:15:15 tapi baja untuk akar atau ubi...tak ingat la. 




Kegunaan dan Khasiat

        Ubi kemili direbus atau dimasak seperti juga ubi-ubi lain. Ubi ini juga menjadi ramuan dalam masakan daging, ikan, sup atau sayuran lain sebagai penyedap rasa dan memaniskan masakan itu. Teringat pula kepada Kak Ju mantan pembantu tadbir yang menang pertandingan memasak gulai kari yang letak ubi kemili, memang sedap.
Selepas tuai, kalau nak jual jangan pula dibasuh...

Daun mudanya juga dibuat sayur dan menjadi ramuan penyedap rasa dalam masakan sayuran. 

Rebus cicah kelapa....


 Khasiat ubi ini dalam tiap-tiap 100 g, bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 75 g, protein 1.6 g, lemak 0.1 g, karbohidrat 21.7 g, serat 0.7 g, kalsium 51 mg, fosforus 27 mg, ferum 1.1 mg, natrium 7 mg, kalium 338 mg, vitamin A 0.0 mg, vitamin B1 0.16 mg, vitamin B2 0.07 mg, niasin 2.0 mg, vitamin C 8.1 mg.  

        Dalam tiap-tiap 100 g, bahagian yang boleh dimakan daunnya mengandungi: air 93.8 g, protein 0.9 g, lemak 0.3 g, karbohidrat 3.5 g, serat 0.6 g, kalsium 164 mg, fosforus 86 mg, ferum 3.9 mg, natrium 3 mg, kalium 119 mg, karotena 1231 mg, vitamin A 205 mg,  vitamin B1 0.02 mg, vitamin B2 0.81 mg, niasin 0.8 mg niasin 0.8 mg dan vitamin C 2.1 mg.

ADA UBI ADA BATAS,
TANAM UBI TAK BOLEH MALAS.